PUTRAJAYA – Mayat seorang bayi perempuan yang diletak di dalam beg kitar semula bersama-sama sekeping nota memohon pihak surau memandi dan mengafankan mayat bayi itu, ditemukan orang awam di perkarangan sebuah surau di Presint 9, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan berkata bayi yang cukup sifat dan masih bertali pusat itu, dibalut dengan surat khabar, sehelai tuala serta jersi berwarna biru, ditemukan di atas rak kasut di luar Surau Abu Bakar As-Siddiq di Presint 9, kira-kira 8.30 malam tadi.
Nota ringkas tulisan tangan itu, menyatakan: “Saya tak ada sesiapa nak minta tolong” dan “hanya Allah sahaja dapat balas jasa orang-orang surau”.
Rosly berkata jangka masa kematian bayi tidak dapat dikenal pasti.
“Berdasarkan Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) kelihatan seorang lelaki meletakkan bungkusan tersebut di bahagian belakang luar pintu surau.
“Muka (lelaki) tidak kelihatan jelas, hanya satu per tiga muka sahaja yang nampak,” katanya ketika dihubungi di sini.
Rosly berkata polis sedang membuat semakan dan pemeriksaan di semua klinik di sini sekiranya terdapat wanita yang menerima rawatan selepas bersalin selain menemu bual penduduk di kawasan itu.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. Usaha untuk mengesan suspek masih diteruskan,” katanya.
Rosly berkata mayat bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat. – BERNAMA