SEPANG – Mayat abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam dilihat memasuki perkarangan Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 2.47 petang.
Sejurus tiba, kenderaan van jenis Toyota Hiace yang membawa jasad itu terus melalui pagar halangan automatik untuk pemeriksaan terlebih dahulu dan seterusnya menuju ke bahagian kargo.
Difahamkan, mayat Jong-nam akan terus dibawa ke Beijing, China menerusi pesawat Malaysia Airlines menerusi penerbangan MH360 yang dijangka berlepas jam 6 petang Khamis.
Terdahulu, van berwarna kelabu itu dirakamkan berjaya meninggalkan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira pukul 1.40 tengah hari.
Pada 13 Februari lalu, Jong-nam didakwa dibunuh oleh dua wanita warga asing ketika dia berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) untuk menaiki pesawat ke Macau, China.
Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.
Dua wanita warga asing iaitu Siti Aisyah, 25, dari Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa membunuh Jong-nam di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA