SEREMBAN – Orang ramai yang berada di Taman Tasik Seremban di sini dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki tanpa identiti yang terapung di situ petang tadi.
Mayat itu ditemui kira-kira pukul 4 petang tanpa baju dan hanya berseluar jeans biru.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh mengesahkan penemuan mayat berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini hari ini.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati anggota bomba membawa naik mayat itu dalam operasi yang terdiri daripada 10 anggota polis dari Balai Polis Jalan Campbell serta lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seremban.
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar, di sini untuk bedah siasat. – BERNAMA