KUALA LUMPUR – Pasukan memanah kebangsaan merangkul tiga pingat perak pada Kejohanan Memanah Piala Asia Ranking Dunia Peringkat 2 di Lapangan Memanah Huamark di Bangkok hari ini.
Khairul Anuar Mohamad yang dua kali mewakili negara ke Sukan Olimpik menyumbangkan pingat perak pertama Malaysia selepas kalah 2-6 kepada Den Yu-Cheng dari Taiwan pada final acara recurve individu lelaki, menurut laman web World Archery www.worldarchery.org.
Dua lagi pemanah Malaysia; Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin tumpas dalam pusingan awal acara sama kepada lawan masing-masing.
Mohd Juwaidi Mazuki, pemenang dua pingat emas pada Sukan SEA Singapura 2015 meraih pingat perak kedua buat Malaysia selepas ketinggalan satu mata, 146-147 kepada Esmaeil Ebadi dari Iran dalam final acara compound individu lelaki.
Seorang lagi pemanah Malaysia, M. Khambeswaran kalah 9-10 dalam perlawanan penentuan kepada Alexander Dambaev dari Rusia bagi pingat gangsa selepas kedua-duanya berkongsi 143 mata.
Mohd Juwaidi yang bergandingan dengan Fatin Nurfatehah Mat Salleh, meraih pingat perak ketiga bagi Malaysia selepas tumpas 150-152 kepada pasangan Taiwan Wu Ting-Ting/Chen Hsiang-Hsuan dalam final acara compound beregu campuran.
Pasangan Iran Parisa Baratchi/Esmaeil Ebadi memenangi pingat gangsa selepas mengetepikan beregu Rusia, Albina Loginova/Alexander Dambaev; 151-145.
Pasukan wanita kebangsaan pula gagal mempamerkan prestasi seperti diharapkan apabila enam pemanahnya tersingkir dalam pusiangan awal dalam acara recurve dan compound individu. – BERNAMA