SEREMBAN – Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan mencatat peratusan tertinggi dalam pengesanan kes wabak tuberculosis (tibi) atau batuk kering secara aktif di Malaysia pada tahun lepas, kata Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam) Dr Zainudin Mohd Ali.
Beliau berkata penyakit tibi adalah isu kesihatan global dan sebagai anggota masyarakat, semua pihak perlu mengetahui simptom wabak ini dan bersama-sama memainkan peranan untuk mengawalnya.
“Usaha bersama komuniti membanteras penyakit berjangkit akan terus diperkukuhkan sehingga dapat dikurangkan kadar morbiditi dan mortaliti (kematian) penyakit berjangkit seperti tibi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena sambutan Hari Tibi Sedunia 2017 peringkat kebangsaan bertemakan ‘Bersatu Kearah Malaysia Bebas Tibi’ di sini, hari ini.
Sambutan itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.
Turut hadir Exco Pendidikan dan Kesihatan negeri Datuk Shamsulkahar Mohd Deli dan Exco Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Abu Ubaidah Redza serta Ketua Sektor Tibi/Kusta Bahagian Kawalan Penyakit kementerian Dr Mohamed Naim Abdul Kadir.
Mengulas lanjut, Zainudin berkata dalam meningkatkan kadar pengesanan kes itu, pihaknya akan berterusan mengambil inisiatif melakukan saringan secara sistematik kepada golongan berisiko tinggi.
“Pengesanan kes secara aktif di lapangan bersama-sama komuniti juga dilakukan dan (kita akan berterusan) memberi kesedaran berkenaan penyakit tibi kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.
Hari Tibi Sedunia disambut pada setiap 24 Mac bagi memperingati penemuan kuman ‘Mycobacterium Tuberculosis’ oleh Dr Robert Koch, ahli mikrobiologi German dan Negeri Sembilan dipilih menjadi tuan rumah untuk sambutan itu, kali ini.
Objektif sambutan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan penyakit tibi serta meningkatkan komitmen dan sokongan terhadap usaha pencegahan dan kawalan tibi di seluruh negara. – BERNAMA