SANDAKAN – Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri yang paling banyak memberikan peruntukan untuk pembangunan Sabah.
Justeru katanya rakyat Sabah perlu menghargai segala kebaikan dan keprihatinan perdana menteri dan kerajaan Barisan Nasional (BN) atas segala usaha yang dilakukan demi kemakmuran rakyat negeri ini.
“Sebab itu tuan-tuan, apabila saya melawat Semporna baru-baru ini, antara mesej saya kepada penduduk Semporna ialah kita orang Sabah, orang Semporna mesti tahu mengenang budi.
“Kita harus menghargai, bersyukur terhadap kebaikan pemimpin yang baik hati, kebaikan kerajaan BN yang selama ini begitu bertekad membangunkan negeri dan sejahterakan rakyatnya.
“Jangan kita menjadi seperti ‘kacang lupakan kulit’ kerana itu bukan sikap kita, bukan cara kita di Sabah, bukan cara kita di Semporna dan bukan cara kita di Sandakan. Kita adalah orang yang tahu mengenang budi,” katanya.
Musa berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, di sini hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan perdana menteri.
Menurut Musa, rakyat perlu berpijak pada bumi nyata bahawa kerajaan Persekutuan telah membawa banyak pembangunan ke Sabah seperti pembinaan jalan raya, bekalan air, penyediaan kemudahan pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
Justeru katanya, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan bekas pemimpin kerajaan Pusat yang masuk kampung, keluar kampung memburukkan kerajaan.
“Semasa dia memegang jawatan tinggi, ada tempat yang dia tidak pernah lawati. Kita melawat, kita turun padang lebih baik ketika kita ada kuasa. Bila berjanji kita kotakan.
“Jangan berjanji selepas tiada kuasa. Kalau sudah tidak ada kuasa, bulan dan bintang pun kita boleh janji,” katanya. – BERNAMA