PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpeluang bertemu secara langsung dengan bintang filem Tamil terkemuka, Rajinikanth ketika lawatan rasminya ke India.
Menerusi akaun Twitter rasmi milik beliau hari ini, Najib berkongsi gambar beliau bersama-sama legenda berusia 66 tahun itu di kediamannya di Chennai, Tamil Nadu.
“Baru sahaja mengadakan pertemuan ramah dan mesra bersama-sama superstar Tamil, Rajnikanth di kediamannya,” kicau Najib menceritakan pengalamannya itu secara ringkas.
Tahun lalu, aktor dengan nama asal Shivaji Rao Gaekwad pernah menyuarakan hasratnya untuk bertemu dengan Najib semasa terlibat dalam penggambaran filemnya, Kabali di Malaysia.
Najib kini berada di India pada hari kedua dalam lawatan rasminya selama lima hari, atas jemputan perdana menteri negara tersebut sendiri, Narendra Modi.
Lawatan ke India sehingga 4 April ini bertujuan untuk merapatkan lagi kerjasama antara dua negara sempena hubungan diplomatik selama 60 tahun. – MYNEWSHUB.CC