KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berpesan kepada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Sambil mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka sempena Hari Polis ke-210 hari ini, Perdana Menteri mengajak rakyat agar terus mengeratkan kerjasama di antara polis dan komuniti.
“Saya ingin berpesan kepada semua warga PDRM – pakailah lencana dan baju seragam anda dengan penuh bangga, dan berikanlah perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Lindungi dan bantu mereka sebagaimana kita melindungi dan membantu keluarga dan kawan kita sendiri,” kata Najib menerusi catatan terbaharu di laman Facebook rasminya.
Menurut beliau, pada zaman dahulu, kerjaya seperti guru dan polis disegani dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat, tetapi kini kerana kesilapan segelintir dalam kalangan polis, yang lain dicemuh.
“Sebenarnya, sebilangan besar dalam kalangan anggota polis kita berkhidmat dengan penuh dedikasi, berhemah tinggi, dan bertanggungjawab,” katanya.
Menerusi catatan itu Najib turut berkongsi mengenai jasa dan pengorbanan setiap hari oleh sebahagian anggota PDRM yang menjaga keselamatan beliau.
Katanya, pengorbanan mereka bukan setakat tenaga dan masa, malah waktu bermesra dengan keluarga tersayang juga terhad.
“Mereka ni, boleh dikatakan mula bekerja sebelum saya celik. Balik kerja, kadang-kadang anak-anak mereka pula dah tidur.
“Penat berdiri, berjaga, makan tak tentu masa, dan ada juga masanya basah kuyup pakaian mereka sebab disimbah hujan atau berjemur di bawah terik matahari,” katanya.
Menurut beliau, semua pengorbanan itu dilakukan agar beliau dapat menjalankan tugas sebagai perdana menteri dengan sebaiknya. – BERNAMA