SANDAKAN – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini malam ini untuk lawatan kerja dua hari ke Sabah.
Pesawat khas yang membawa perdana menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di Lapangan Terbang Sandakan pada 9.05 malam.
Ketibaan mereka disambut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, timbalannya Tan Sri Pairin Kitingan dan beberapa menteri kabinet negeri.
Esok, Najib dijadual merasmikan Program Perumahan Rakyat Termiskin di Lupak Meluas di sini dan menunaikan solat Jumaat di Masjid Wasatiyyah Lupak Meluas.
Selepas itu, perdana menteri akan melakukan tinjauan mesra di Harbour Square Sandakan sebelum berlepas ke Kota Kinabalu.
Pada pagi Sabtu, Najib dijadual melancarkan Pan Borneo Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan Sindumin Sipitang sebelum melakukan tinjauan mesra di Tamu Putatan.
Perdana menteri dijadual berlepas pulang ke ibu negara pada malamnya. – BERNAMA