PADA usia 105 tahun, seorang warga emas di China masih setia membidik gambar menggunakan kamera tidak seperti golongan seusianya yang sering dirundum pelbagai masalah kesihatan.
Li Yuzhen adalah salah seorang jurugambar tertua dan paling berpengalaman di negara Tanah Besar itu.
Yuzhen menerusi laman tempatan negara itu memberitahu dia telah berjinak dalam bidang fotografi sejak 64 tahun lalu setelah berkahwin dengan suaminya pada tahun 1953.
Difahamkan suami Yuzhen mempunyai sebuah studio foto di wilayah Guandong dan tidak lokek menurunkan segala ilmu berkaitan bidang tersebut kepadanya.
Setelah bertahun-tahun berguru dengan suaminya, Yuzhen kini mahir mengendalikan kamera malah turut memiliki studio foto sendiri.
Berdekad mendalami ilmu fotografi, Yuzhen juga turut menyaksikan sendiri peredaran dan pembangunan yang dialami oleh bidang tersebut dari kamera jenis konvensional kepada digital.
Selain itu, Yuzhen juga membantu menguruskan studio foto vintage milik anak perempuannya yang terletak di bandar Lianhui.
Menurut warga emas ini, dia paling gemar merakam foto-foto keluarganya. Cinta terhadap bidang fotografi sudah sebati dalam darah keluarganya dan di masa terluang Yuzhen turut mengajar cucunya untuk merakam gambar menggunakan telefon pintar. – MYNEWSHUB.CC