JENAMA sukan terkenal Nike bakal mengeluarkan hijab khas buat atlet wanita Muslim.
Hijab yang diberi nama “Nike Pro Hijab” itu mempunyai rekaan sarungan selapis yang diperbuat daripada fabrik poliester ringan dan didatangkan dalam rona gelap dan neutral.
Lubang-lubang kecil pada fabrik tersebut akan menjadikannya berangin namun masih kekal legap, yang merupakan satu ciri penting bagi wanita yang memakai hijab.
Menurut Nike, mereka mula menghasilkan hijab itu selepas beberapa orang atlet wanita Muslim mengadu kerana terpaksa memakai hijab tradisional semasa pertandingan.
Proses rekaan mengambil masa 13 bulan dan produk akhir itu akan mula dijual dalam koleksi musim bunga 2018 syarikat tersebut.
Kata Nike lagi, hijab berkenaan sebenarnya sudah pun dipakai oleh atlet luncur ais Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Zahra Lari.
“Saya amat teruja dan sedikit terharu apabila melihat Nike mewujudkan prototaip hijab tersebut,” kata Zahra menerusi satu kenyataan rasmi.
“Saya telah mencuba pelbagai jenis hijab semasa pertandingan dan hanya beberapa yang benar-benar dapat membantu persembahan saya.
“Tetapi apabila saya memakai hijab ini dan mencubanya di gelanggang meluncur, saya teruja dengan muatannya dan fabriknya yang begitu ringan.”
Pengenalan hijab ini muncul cuma beberapa minggu selepas sebuah iklan Nike telah mencetuskan kontroversi di rantau Timur Tengah.
Iklan tersebut menonjolkan lima orang atlet wanita profesional yang berasal daripada kawasan-kawasan berbeza di Dunia Arab yang ingin mencapat cita-cita kesukanan mereka sambil diiringi oleh satu suara yang berkata, “Apa yang akan mereka katakan terhadap anda?”
Soalan itu hanyalah satu soalan retorikal yang dihadapi oleh kebanyakan wanita Arab jika mereka cuba ‘keluar’ daripada kebiasaan budaya dan tradisi keturunan mereka.
Video tersebut tular di laman sosial dan ditonton lebih sejuta kali, di samping mencetuskan perdebatan berkenaan mesej yang hendak disampaikan. – MYNEWSHUB.CC