LUMUT – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang pemancing yang hilang selepas terjatuh dari bot tujuh batu nautika dari selatan Pulau Pangkor pada Sabtu lalu diperluas sehingga 30 batu nautika hari ini.
Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata pihaknya dan beberapa agensi lain giat menjalankan SAR dan memperluaskan kawasan pencarian selepas mangsa masih lagi belum ditemui sehingga hari ini.
“Kita menerima maklumat daripada pesawat Maritim 45 milik unit udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mengesan objek terapung di kawasan sektor carian.
“Dua aset digerakkan ke lokasi namun tiada sebarang petunjuk di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Zulinda berkata APMM turut mengerakkan beberapa aset tambahan dalam membantu gerakan SAR namun keadaan laut bergelora serta cuaca tidak baik menyebabkan operasi ditangguhkan jam 7.30 malam tadi.
Operasi SAR memasuki hari keempat hari ini diteruskan jam 7 pagi tadi dengan bantuan Pasukan Polis Marin serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Dalam kejadian tengah hari itu, mangsa Khairolafni Ahmad Ghani, 31, dipercayai terjatuh dari botnya ketika dalam perjalanaan ke Pulau Sembilan bersama lapan rakan untuk memancing. – BERNAMA