KUALA LUMPUR – Pemuda Parti Amanah Negara (PAN) mahu Pengarah Imigresen Perak yang ditahan dan disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini dipecat.
Timbalan Ketuanya, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, penahanan itu secara tidak langsung menjawab persoalan tentang pusat hiburan, perjudian dan rumah urut yang berleluasa di Perak.
“Pusat-pusat ini bermaharajalela beroperasi dan pihak penguatkuasa seolah tidak mampu untuk membendungnya.
“Kami menggesa kerajaan negeri mengenakan tindakan yang tegas terhadap individu tersebut termasuklah memecat atau merehatkan seketika sementara kes tersebut disiasat oleh SPRM,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Shafiq juga mahu siasatan dilakukan ke atas setiap jabatan dan agensi kerajaan di Perak bagi memastikan perkara yang sama berlaku dan berleluasa.
Media pada 27 Februari lalu melaporkan Pengarah Imigresen Perak dan tiga individu lain dibebaskan setelah ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pengusaha pusat hiburan dan rumah urut.
Kesemua mereka yang berusia antara 57 hingga 26 tahun dibebaskan tanpa syarat oleh Majistret Suhaima Mohd. Noor.
Pembebasan kesemua suspek dibuat selepas permohonan yang dikemukakan SPRM bagi lanjutan reman ditolak oleh mahkamah. – MYNEWSHUB.CC