KUALA LUMPUR – Pasangan penerjun negara Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong meraih pingat gangsa pada pusingan kedua kejohanan Terjun Siri Dunia FINA yang berlangsung di Guangzhou, China hari ini.
Pasangan itu mengumpul 332.46 mata selepas melakukan lima terjunan untuk menduduki tempat ketiga acara 10m platform seirama wanita pada kejohanan yang diadakan di Swimming Natatorium, Pusat Sukan Olimpik, menurut Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dalam laman sesawang www.fina.org.
Tuan rumah China meneruskan dominasi mereka selepas Chang Yani/Ren Qian mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada pusingan pertama di Beijing dengan 347.82 mata manakala pasangan Korea Utara Kim Kuk Hyang/Kim Mi Rae meraih pingat perak dengan 339.72 mata.
Untuk rekod, Pandelela/Cheong meraih pingat perak dalam acara sama pada pusingan pertama, minggu lepas.
Satu lagi pasangan Malaysia, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee akan mengambil bahagian dalam acara 10m papan anjal seirama wanita lewat hari ini. – BERNAMA