BESUT – Seorang peniaga kedai makan hari ini ditemukan mati di dalam keretanya di kawasan letak kereta Padang Astaka Jerteh di sini, kata Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Zamri Mohd Rowi.
Beliau berkata peniaga itu Zamrin Mat Salleh @ Sallehuddin, 41, ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa di tempat duduk pemandu pada kira-kira 9.40 pagi ini, dipercayai akibat serangan jantung.
“Seorang petugas Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Jerteh yang terlihat pintu kanan kereta terbuka lalu menjenguknya.
“Petugas berkenaan terkejut apabila mendapati seorang lelaki terbaring di bahagian kerusi hadapan kereta berkenaan tanpa sedarkan diri dan memaklumkannya kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohd Zamri berkata mayat peniaga itu dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk bedah siasat dan menurutnya lelaki itu dikatakan seorang yang aktif bersukan dan kehadirannya di tempat kejadian adalah untuk berjoging. – BERNAMA