KUALA TERENGGANU – Persembahan hambar barisan serangan Terengganu terutama Federico Matias Falcone ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) jelas mengecewakan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim.
Bagi Irfan Bakti, jentera penggempurnya masih kurang berkeyakinan sehingga tindakan penyudah mereka menjadi tumpul, sekali gus menyukarkan peluang mencari jaringan.
Menurutnya, barisan serangan seharusnya lebih berani dan yakin dalam setiap gerakan bagi menghasilkan gol.
“Saya kecewa terutama dengan Federico kerana sebagai penyerang, dia seharusnya lebih berani dan yakin. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas aksi menentang ATM, di sini malam tadi.
Dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Terengganu menewaskan ATM 1-0 menerusi sepakan penalti Issey Farran Morgan Nakajima pada minit ke-83.
Irfan Bakti mengakui skuad itu perlu bekerja lebih keras lagi bagi membolehkan pasukan berada pada kedudukan terbaik.
“Kita akan terus memperbaiki kelemahan dalam pasukan dan mempertingkatkan mutu permainan,” katanya.
Pada masa sama, Irfan Bakti berkata dia tetap berpuas hati dengan tiga mata yang diperoleh pasukannya malam tadi.
“Tiga mata ini sangat penting…kemenangan ini sangat bermakna untuk pasukan,” katanya.
Terengganu kini menghuni tangga kedua liga dengan mengumpulkan 18 mata selepas bermain lapan kali, tiga mata di belakang Negeri Sembilan yang bermain kurang satu perlawanan. – BERNAMA