NAMA Kim Dong Gyun masih asing di Malaysia namun di negara seberang, dia cukup dikenali dengan kebolehannya menyanyikan lagu dalam bahasa Indonesia.
Meskipun ramai tidak mengenalinya, Dong Gyun dari kumpulan Zigma Band sebenarnya telah banyak menyanyikan semula lagu-lagu artis tempatan yang diolah ke bahasa Korea dan diselitkan juga bahasa Melayu.
Baca:Â Kagum!! Penyanyi Australia Nyanyi Let It Go Versi Melayu
Antara lagu artis Malaysia yang pernah di-cover oleh Dong Gyun ialah Sayang (Faizal Tahir), Sudah Ku Tahu (Projektor Band), Hancur Aku (Estranged ft. Fazura) dan terbaharu single Aiman Tino berjudul Permata Cinta.
Single Permata Cinta versi Dong Gyun yang telah dimuat naik ke laman penstriman video YouTube pada 9 Februari lalu kini ditonton lebih 42 ribu pengguna laman sesawang.
Lirik lagu itu telah ditukar kepada bahasa Korea manakala muziknya pula digubah semula oleh Hossein Somadi.
Walaupun jejaka berusia 33 tahun ini banyak menyanyikan semula lagu-lagu artis lain namun Dong Gyun pernah muncul dengan singlenya sendiri berjudul Masih Cinta sekitar tahun lalu.
Malah singlenya itu turut menjadi runut bunyi bagi drama Sekali Aku Jatuh Cinta yang menampilkan Syafiq Kyle, Mimi Lana, Faye Kusairi dan ramai lagi menerusi slot Iris di stesen TV3. – MYNEWSHUB.CC