ROMPIN – Para pesawah di Kampung Kurnia di sini merasa sedih kerana banjir yang sedang mereka alami berlaku ketika padi mereka sedang masak dan menunggu masa untuk dituai.
Saodah Ismail, 73, berkata ini adalah kali pertama beliau berhadapan dengan banjir pada bulan Mac, yang kebiasaannya banjir melanda pada hujung tahun setiap tahun.
Beliau berkata mereka mula menanam padi sekitar akhir bulan Oktober atau awal November yang hasilnya dapat dituai pada bulan Mac.
“Pertama kali kami hadapi banjir pada musim padi masak. Tidak banyak yang boleh diselamatkan kerana air naik begitu cepat selepas hujan seharian. Walaupun sudah lali dengan banjir, pengalaman kali ini memang berbeza.
“Sedih tapi kena reda dan diharapkan banjir cepat surut supaya kami dapat pulang dan melihat keadaan sawah padi kami jika boleh diselamatkan atau tidak,” katanya semasa ditemui di pusat pemindahan sementara di Kampung Setajam.
Pusat pemindahan itu dibuka petang semalam yang setakat hari ini menempatkan seramai 162 orang daripada 45 keluarga.
Perasaan sama dikongsi oleh Azizah Mat Isa, 59, yang mengerjakan sawah bersama suaminya Yusop Othman, 67.
Beliau berkata meskipun boleh dianggap sudah lali berhadapan banjir, namun kali ini merasa terkejut dengan banjir yang melanda di awal tahun.
“Pada mulanya kami menyangka hujan yang turun tidak akan menyebabkan banjir. Tapi akhirnya kami terpaksa juga berpindah kerana air naik semakin tinggi,” katanya.
Suhada Abdullah, 33, yang baharu habis tempoh berpantang berkata beliau tidak dapat tidur semalaman kerana risau tentang anaknya yang berumur dua bulan sementara air di rumah mereka sedang naik.
“Saya lihat beberapa jiran kami sudah dipindahkan malam semalam. Tapi kami terpaksa menunggu sehingga awal pagi ini kerana masanya sudah lewat dan gelap untuk turut berpindah.
“Memang cemas kerana air mulai mencecah lantai rumah. Saya berdoa supaya hari cepat siang supaya anak kami boleh dibawa ke kawasan selamat. Kami merasa lega apabila lihat pasukan keselamatan datang untuk bantu kami berpindah pagi tadi,” katanya. – BERNAMA