Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Bebankan Rakyat Nak Tengok...

KUALA LUMPUR -  Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin hari mengemukakan usul spontan...

Indonesia Enggan Dedah Laporan...

Pihak berkuasa Indonesia tidak akan mendedahkan laporan awal tragedi nahas pesawat AirAsia Indonesia...

Majlis Raikan Cinta Sukur,...

BENARLAH bagai dikatakan bahawa jodoh dan pertemuan itu sememangnya rahsia Allah SWT. Tiada...

Sebanyak 24 Kawasan Rekod...

KUALA LUMPUR - Sebanyak 24 kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat...

PM, Isteri Syukur Mangsa Culik Abu Sayyaf Selamat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembebasan mangsa culik yang ditahan selama lebih lapan bulan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf dibuat dengan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Filipina.

Menurut perdana menteri, selain itu, usaha berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Luar dan pihak lain termasuk Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) membuahkan hasil, dengan dua daripada lima mangsa culik berjaya dibawa pulang ke tanah air semalam.

“Kita bersyukur kerana dua rakyat Malaysia yang diculik selama lapan bulan, kini selamat tiba di negara kita dan dipertemukan dengan keluarga hari ini.

Terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat dalam usaha menyelamatkan mereka.

“Bagi tiga lagi yang masih di sana, kita bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan Filipina untuk bawa mereka pulang, harap mereka tabah,” kata Najib kepada pemberita, di kediamannya di Jalan Duta, hari ini.

Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sebelum itu bertemu dan mendengar sendiri cerita dua daripada mangsa culik berkenaan Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, yang tiba di kediaman perdana menteri pada 8 pagi untuk dipertemukan dengan keluarga masing-masing, yang telah sedia menunggu.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid hari ini mengesahkan tiga lagi rakan Tayudin dan Abdul Rahim yang turut diculik, Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, telah diselamatkan tengah malam tadi.

Kesemua mereka yang merupakan kru kapal tunda Serudong Tiga, diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai, 2016.

Tayudin dan Abdul Rahim yang diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di selatan republik itu pada Khamis lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, malam tadi.

Pada pertemuan kira-kira 20 minit itu, Tayudin dan Abdul Rahim yang mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk tidak mampu berjalan dan mengalami masalah penglihatan, menceritakan bagaimana mereka dilayan seperti hamba abdi oleh penculik.

Mereka dipaksa melakukan pelbagai kerja seperti memasak untuk kumpulan berkenaan dan hanya diberi sisa makanan untuk dikongsi selain meminum air masin.


Najib berkata Tayudin dan Abdul Rahim akan dirawat oleh pasukan pakar di Hospital Selayang.

“Tayudin mengalami masalah penglihatan dan tidak mampu berjalan dan masalah pundi kencing tidak berfungsi, begitu juga Abdul Rahim yang turut mengalami darah tinggi, kedua-dua mereka akan dirawat oleh pasukan pakar di Hospital Selayang, insya-Allah, kita harap kedua-duanya akan pulih kembali,” katanya.

Najib turut menegaskan pembebasan dua rakyat Malaysia yang diculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf tidak melibatkan sebarang pembayaran wang pampasan.

Terdahulu, sebaik bertemu perdana menteri, kedua-dua mangsa culik yang kini terpaksa menggunakan kerusi roda itu tidak putus-putus melahirkan rasa syukur dan berterima kasih dengan usaha berterusan kerajaan dalam membebaskan mereka.

Katanya selama lebih lapan bulan ditahan, mereka tidak pernah putus harapan dan percaya akan diselamatkan, walaupun selalu diugut akan dipancung oleh penculik.

Mengulas perkara itu, perdana menteri berkata kesemua mangsa culik itu tidak pernah dilupakan dan kerajaan secara berterusan melakukan usaha untuk menyelamatkan mereka.

“Memang dalam ingatan kita, bagaimanapun susah kita nak buat (selamatkan) kerana mereka (penculik) sentiasa berpindah-randah,” jelas Najib.

Suasana pilu turut dirakam apabila kedua-dua nelayan berkenaan dipertemukan dengan anggota keluarga masing-masing dengan Tayudin disambut oleh isteri Rustia Sultan, 47, dan dua anak mereka, Nurerin Farisha, 13, dan Mohd Fahirin, 5, manakala Abdul Rahim dipertemukan dengan anak keduanya Rasniyati, 40, dan beberapa anggota keluarga lain.

Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut serta pada pertemuan itu.- BERNAMA

Kategori