SEREMBAN – Mayat seorang anggota polis daripada Cawangan Khas Bukit Aman yang dikhuatiri lemas ketika memancing di Pulau Asam Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang, Port Dickson dekat sini, ditemui kira-kira 12.30 tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Zainudin Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, Noramirul Ashraf Rahma, 27, maut dibawa arus ketika cuba meredah air laut untuk mendapatkan penutup kotak sejuk beku yang terjatuh dan hanyut di laut.
“Mangsa bersama dua rakannya datang bercuti ke Pulau Asam untuk memancing. Mereka telah sampai pada jam 9.00 malam tadi dan berjalan kaki dari pantai ke pulau berkenaan dan bermalam di situ.
Pada jam lebih kurang 10.00 pagi tadi, mangsa bersama rakannya telah pergi memancing. Dikatakan mangsa kemudiannya telah meredah air laut untuk mendapatkan penutup kotak sejuk beku yang hanyut.
Bagaimanapun, mangsa tenggelam dibawa arus manakala seorang rakannya cuba menyelamat mangsa namun gagal,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Zainudin berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa kemudiannya dilancarkan yang disertai Pasukan Bomba dan Penyelamat Telok Kemang bersama nelayan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
“Mangsa akhirnya berjaya ditemukan tidak jauh dari lokasi dilaporkan hilang sekitar kira-kira pukul 12.30 tengahari tadi,” katanya. – BERNAMA