KOTA KINABALU – Rakyat Sabah termasuk pembuat dasar harus memahami secara mendalam isu semasa politik antarabangsa serta kaitannya dengan politik domestik bagi mengekalkan keharmonian negara yang dikecapi sekarang.
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata setiap rakyat juga perlu memiliki tanggungjawab untuk memastikan negara terus mengecapi kemakmuran dan tidak menghadapi konflik serta masalah sama dihadapi oleh beberapa negara luar lain.
“Konflik perang yang berlaku di beberapa negara di Asia Timur contohnya adalah pengajaran dan iktibar penting kepada rakyat Malaysia. Konflik yang berlaku di negara terbabit menunjukkan bahawa keharmonian dan kemakmuran negara yang dibina bagi tempoh berpuluh tahun dengan mudah musnah begitu saja.
“Oleh itu, kita harus mengelakkan konflik dan masalah ini daripada menimpa negara kita dan pada masa sama, rakyat Sabah serta pembuat dasar khususnya harus memahami fenomena ini dan isu dalam politik antarabangsa dan kaitannya dengan politik domestik,” katanya.
Musa berkata demikian ketika berucap melancarkan Kursus Sarjana Sastera (Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa) serta Program Pendarasan Islam, Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini hari ini.
Musa berkata kursus sarjana baharu diperkenalkan UMS dengan kerjasama Institut Kajian Pembangunan (IDS) itu akan memberi peluang kepada rakyat Sabah termasuk pegawai kerajaan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi serta mendalami ilmu berkaitan isu-isu semasa di dalam negara dan antarabangsa.
Katanya kursus sarjana itu amat perlu dan relevan dalam memahami senario politik dan isu-isu antarabangsa yang semakin kompleks serta saling berkait hari ini.
Musa turut memuji inisiatif UMS menawarkan Program Pendarasan Islam yang dilihat berupaya mengubah persepsi negatif dan membuka dimensi baharu mengenai Islam sebagai agama yang menggalakkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif (IDS) Datuk Mohd Hasnol Ayub berkata barisan hadapan kerajaan terutama pemimpin dan pegawai kerajaan perlu mengambil inisiatif menambah pengetahuan selain peka terhadap pelbagai isu domestik dan antarabangsa dalam usaha memastikan dasar luar negara terus mantap.
“Sumber manusia negara perlu dipersiapkan dengan kemahiran berfikir secara global dan mampu berdepan pelbagai cabaran domestik mahupun antarabangsa. Ini membantu memastikan kesan negatif dapat diatasi atau diminimumkan,” tambahnya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata kursus Kerajaan dan Hubungan Antarabangsa ditawarkan untuk program sepenuh masa dan separuh masa di bawah Pusat Pengajian Pascasiswazah UMS yang menjuruskan kepada penyelidikan dalam bidang tersebut.
Menurutnya, program Pendarasan Islam pula adalah program prasiswazah yang menawarkan Ijazah Sarjana Muda Pendarasan Islam (dengan Kepujian) selama tiga tahun dan akan menerima pelajar pada sesi pengajian semester pertama sesi 2017/2018 pada September ini. – BERNAMA