JIKA diamati pada bentuk fizikal dan umur remaja ini, dia tak ubah seperti rakan-rakan seusianya yang lain.
Namun pasti ramai yang terkejut jika mengetahui status sebenar remaja berusia 14 tahun ini.
Yasha Asley, warga Muslim berasal dari Britain merupakan seorang remaja yang dianugerahkan dengan kepintaran yang luar biasa dalam bidang matematik.
Dek kepintarannya itu, dia telah melayakkan dirinya untuk menjadi mahasiswa di Universiti Leicester, England dan dalam pada masa yang sama turut bergelar pensyarah di universiti tersebut.
Yasha mendapat pendidikan awal di sekolah rendah di Leicester sebelum menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang matematik pada umur 12 tahun dan terpilih menjadi tenaga pengajar di universiti tersebut pada usia 13 tahun.
“Saya sedang menjalani masa yang paling seronok dalam hidup saya. Saya sangat suka pergi ke universiti dan saya seronok dengan kerja baru saya membantu pelajar lain.
“Tiada lagi pakaian seragam sekolah untuk saya. Saya sangat berterima kasih,” ujarnya kepada laman iluminasi.com.
Kini, remaja ini sedang berada di tahun akhir dan bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).
Bapa Yasha iaitu Moussa Asley, 53, turut berbangga dengan kelebihan yang dimiliki serta pencapaian yang diraih oleh anaknya itu.
“Saya sangat berbangga melihat dia berkembang maju dan membesar melakukan sesuatu yang dia sangat suka,” katanya. –Â MYNEWSHUB.CC