KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Mohd Suhaili Said, Anggota Dewan Undangan Negeri Tungku yang meninggal dunia petang tadi.
Musa yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah dan Barisan Nasional (BN) berkata beliau turut menyampaikan takziah bagi pihak kedua-dua parti.
“Kita berasa sedih atas pemergian seorang sahabat seperjuangan, wakil rakyat dan pemimpin yang selama ini begitu komited dan dedikasi dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan, sama ada di dalam parti atau kerajaan, sehingga ke akhir hayatnya,” kata Musa dalam kenyataan di sini.
Musa berkata sepanjang perkhidmatannya, Allahyarham banyak memberikan sumbangan kepada negeri dan rakyat Sabah terutama kepada rakyat dalam kawasan dewan undangan negeri yang diwakili.
“Kita berkongsi rasa sedih dan simpati dengan seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi ketentuan ini. Kita berdoa semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan ditempatkan bersama para hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” kata Musa.
Mohd Suhaili, 56, meninggal dunia kira-kira 3.10 petang tadi di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur akibat kanser hati.
Difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa ke Kampung Remang, Jalan Silabukan di Tungku, Lahad Datu esok sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Segangan. – BERNAMA