MOSCOW – Saintis Rusia berjaya menjalankan ujian di angkasa lepas ke atas sejenis ubat yang boleh melawan pelbagai jenis sel kanser dalam tubuh manusia, akhbar tempatan Izvestia melaporkan pada Jumaat memetik seorang profesor, lapor agensi berita China Xinhua.
“Ubat diberi nama ‘thermal shock protein’, mengandungi ramuan aktif,” kata Timbalan Institut Kajian Saintifik Rawatan Biologi Tulen bagi Agensi Biologi dan Perubatan Persekutuan Rusia, Profesor Andrei Simbirtsev.
Simbirtsev berkata, protein itu bukan sahaja melindungi sel manusia daripada rosak tetapi membantu sel mendedahkan antigen tumor masing-masing kepada sistem kekebalan, menguatkan tindak balas kekebalan badan.
Protein itu wujud dalam badan manusia dengan jumlah yang kecil.
Bagamaimanapun gen yang bertangguangjawab terhadap pengeluarannya sendiri itu berjaya dikenal pasti oleh ahli sains Rusia. Mereka menghasilkan sel bakteria yang mampu mengeluarkan protein berkenaan.
“Sel bakteria berkenaan boleh membiak dengan baik bagi membolehkan kita memperoleh jumlah protein yang tidak terhad,” kata Simbirtsev.
Ubat baharu itu sudah diuji pada anak tikus dan tikus yang menghidap melanoma serta sarcoma dan keputusan menunjukkan majoriti tikus berkenaan sembuh sepenuhnya meskipun ada sudah di tahap kritikal.
Katanya, mereka memerlukan sekurang-kurangnya setahun lagi untuk melengkapkan ujian praklinikal bagi mengesahkan ubat itu tidak mengandungi kesan toksik. – BERNAMA