PENDAKWAH antarabangsa, Dr Zakir Naik bersedia bertemu dengan peguam, Siti Kassim bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan, kata pegawai khas pejabat penasihat perdana menteri, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahaya.
Menurut Fathul Bari, maklum balas kesediaan Dr. Zakir itu dimuat naik ke laman Facebooknya menerusi screenshot perbualan aplikasi Whatsapp antara beliau dengan penceramah terkenal itu.
“If you think it will be fruitful and their niyyah is good, I would not mind meeting them (Jika kamu fikir ia membuahkan hasil baik dan niat mereka bagus, saya tidak kisah bertemu dengan mereka),” tulis Zakir Naik dalam mesej balas kepada Fathul Bari.
Rabu lalu, 19 orang termasuk pengerusi kumpulan Hindraf, P Waythamoorthy dan peguam Siti Kasim memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia kerana mendakwa ia melindungi Dr. Zakir.
Mereka mendakwa kononnya Tokoh Maal Hijrah 2013 itu adalah sebagai individu berbahaya dan ekstremis yang tidak sepatutnya dibenarkan berada di Malaysia. Mereka juga mendakwa kehadiran Zakir di Malaysia akan membawa ancaman kepada keselamatan negara.
Fathul Bari menambah, Dr. Zakir kini berada di Malaysia dan jika ada persetujuan semua pihak, pertemuan ini boleh diadakan bila-bila masa.
“Sekiranya pihak terbabit bersetuju, boleh sahaja buat secara tertutup, yang penting dapat luahkan apa yang dia (Siti) nak cakap.
“Perkara ini penting kerana dia (Siti) telah bercakap kepada umum dengan dakwaan tertentu sehingga menimbulkan pelbagai keraguan kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Fathul Bari mengatakan masih tiada jawapan balas dari Siti Kassim berhubung kesediaan cadangan pertemuan itu.
“Namun pihak berkenaan tidak beri apa-apa maklum balas berhubung hal tersebut. Saya pula tidak menghubungi peguam tersebut (Siti) secara langsung,“ katanya. –MYNEWSHUB.CC