JEMPOL – Seorang penunggang motosikal maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua motosikal di Kilometer 7, Jalan Bahau-Batu Kikir di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Noorzainy Mohd. Noor berkata mangsa yang maut ialah Muhammad Amirullah Adzhar, 16, menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC, manakala penunggang sebuah motosikal lain jenis Honda EX5, Muhammad Aiman Azliy Azhar, 14, cedera parah.
Katanya siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku kira-kira 7.45 malam itu melibatkan dua motosikal yang berlanggar sesama sendiri.
“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila Muhammad Amirullah yang menunggang motosikal dari arah Batu Kikir dilanggar motosikal yang ditunggang Muhammad Aiman Azliy dari arah bertentangan sewaktu dia membelok ke kanan.
“Kedua-dua penunggang terbabit mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah untuk menerima rawatan. Namun, Muhammad Amirullah telah meninggal dunia di hospital itu pada 10.39 malam,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya semakan polis mendapati kedua-dua pelajar sekolah itu tidak memiliki lesen menunggang motosikal dan motosikal berkenaan didaftarkan atas nama bapa masing-masing. – BERNAMA