DUESSELDORF (Jerman) – Lima individu cedera diserang lelaki bersenjatakan kapak di stesen kereta api utama di sini, lewat Khamis.
Polis Duesseldorf mendapat laporan kira-kira 9 malam waktu tempatan (4 pagi Malaysia) sebelum dikerah ke lokasi kejadian.
“Lelaki dipercayai bersenjatakan kapak menyerang orang secara rawak.
“Sekurang-kurangnya lima orang cedera termasuk seorang parah,” kata polis dalam satu kenyataan.
Suspek ditahan selepas lompat dari jambatan berhampiran stesen kereta api itu.
Polis berkata, suspek cedera dan sedang dirawat di hospital.
Polis turut menemui kapak dan sedang menjalankan siasatan lanjut di perkarangan stesen yang ditutup.
Polis berkata, setakat ini tiada petunjuk jelas berhubung motif serangan itu. – AP/myMetro Online