ADEN (Yaman) – Sekurang-kurang tiga anggota cawangan al-Qaida di Yaman terbunuh selepas Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan dron pada Khamis di wilayah Shabwa tenggara Yaman, menurut seorang pegawai tentera lapor agensi berita China, Xinhua.
Serangan dilancarkan kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan di sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat persembunyian anggota kumpulan pengganas al-Qaida, menurut sumber pegawai tentera Yaman yang enggan dikenali.
Menurut pegawai perisik di wilayah itu dipercayai turut terbunuh dalam serangan ialah seorang anggota al-Qaida berpangkat komander.
Maklumat lanjut mengenai mereka yang terbunuh masih belum dapat dipastikan.
Kawasan Shabwa tenggara Yemen dan wilayah tengah al-Bayda menjadi kawasan persembunyian al-Qaida dan menjadi sasaran serangan AS.
Yaman juga dikatakan menjadi antara negara di Timur Tengah yang aktif dengan kegiatan pemberontak al-Qaida.
Militan Al-Qaida Semenanjung Arab (AQAP) cawangan Yaman juga dikenali “Ansar al-Sharia” diwujudkan pada Januari 2009, bertanggungjawab terhadap beberapa serangan keganasan ke atas tentera dan agensi kerajaan Yaman.
AQAP dan pengganas yang mempunyai kaitan dengan Islamic State mengambil kesempatan daripada peperangan dan kelemahan kawalan keselamatan untuk meluaskan pengaruh mereka dan menawan lebih banyak kawasan di Yaman.
Lebih 10,000 orang terbunuh kebanyakan terdiri daripada orang awam akibat peperangan dan serangan udara yang tercetus sejak 2015. – BERNAMA