KUALA TERENGGANU – Selepas tiga kekalahan berturut-turut, jurulatih negara, Ismail Zakaria mahu memastikan anak buahnya mengakhiri cabaran Kumpulan A Kejohanan Bola Sepak Pantai AFC 2017 dengan kemenangan ke atas China, esok.
Ismail berkata skuad itu akan mengubah strategi bagi membolehkan mereka mencatat kemenangan pertama di kejohanan tersebut.
Menurutnya, walaupun telah kalah tiga kali berturut-turut, anak buahnya masih bersemangat dan mahu mencipta kemenangan sulung dalam perlawanan yang berlangsung di Pantai Batu Buruk, di sini.
Dalam perlawanan lalu, pasukan negara kalah kepada Afghanistan (3-5), Iran (0-14) dan Bahrain (5-6).
Ismail berkata banyak yang mereka pelajari dalam tiga perlawanan sebelum ini dan berharap dapat meraih mata penuh ketika berdepan China.
“Kita harap kemenangan menjadi milik Malaysia sebelum mengakhiri cabaran di kejohanan ini,” katanya kepada pemberita, di sini.
Ismail mengakui kekalahan yang dialami anak buahnya di kejohanan itu adalah akibat kekurangan pengalaman, teknik permainan serta persiapan yang agak lewat.
“Kita hanya mengambil masa tiga minggu untuk membuat persiapan sedangkan pasukan lain sudah berbulan atau bertahun bersama,” katanya. – BERNAMA