CYBERJAYA – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini melancarkan majalah ‘Penting’ untuk memberi informasi yang lebih mendalam kepada masyarakat mengenai topik air dan kumbahan.
Diterbitkan dua bulan sekali, majalah Penting yang menyasarkan edaran di sekolah, agensi kerajaan, syarikat pengendalian air dan orang awam turut mengupas mengenai konsep dan isu berkaitan sanitasi, pembentungan dan pemuliharaan air.
Ketua Pegawai Eksekutif SPAN Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata pelancaran majalah yang diterbitkan dengan kerjasama Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM) itu merupakan satu inisiatif untuk memastikan sistem bekalan air dan pembentungan berada pada tahap terbaik.
SPAN dan WECAM juga bekerjasama melaksanakan program ‘outreach’ di lokasi-lokasi terpilih di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran awam tentang kepentingan pengurusan sisa kumbahan dan pemuliharaan air, katanya.
“Memandangkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan pengurusan sisa pepejal dan pengosongan tangki septik yang perlu dilakukan secara berkala masih rendah, kita berharap penerbitan Penting dapat membantu memperkasakan program outreach yang dibuat,” katanya pada pelancaran majalah itu di sini hari ini.
Pelancaran majalah Penting yang menyasarkan cetakan sebanyak 50,000 salinan bagi setiap keluaran itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pengurusan) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Dr Tan Yew Chong. – BERNAMA