SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi memutuskan tujuh bekas staf Menteri Besar Diperbadankan (MBI) di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak perlu memulangkan RM2.7 juta diterima pada 2014.
Menurut laporan media, Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusannya itu pada Jumaat mendapati bahawa bayaran pampasan tersebut dibuat mengikut peraturan berdasarkan kepada Enakmen MBI 1994.
Sehubungan itu, pihak mahkamah di sini menolak tuntutan MBI yang difailkan pada 11 Mei 2015 lalu, sekali gus menjadi tamparan buruk kepada imej Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali sendiri.
Dalam kes itu, plantif membuat tuntutan terhadap tujuh defendan iaitu Faekah Hussin, Rohani Talib, Arfa’eza Abdul Aziz, Mustapha Mohd. Talib, Rahimah Kamarudin, Abdul Halim Mohamed Yusof dan Tuan Nazuri Tuan Ismail.
Bagaimanapun saman terhadap seorang lagi bekas kakitangan MBI yang menerima pampasan masih belum lagi diteruskan berikutan sedang mendapat kebenaran daripada mahkamah di bawah Akta Kebankrapan 1967.
Kesemua mereka menerima pampasan tersebut sebagai ganti rugi apabila kontrak mereka tiba-tiba ditamatkan selepas Abdul Khalid dipaksa meletak jawatan sebagai Menteri Besar pada September 2014 oleh pihak PKR.
Sementara itu Faekah yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif MBI dalam satu kenyataan berkata keputusan mahkamah membuktikan segala dakwaan Kerajaan Selangor di bawah Mohamed Azmin Ali bermotif politik.
“Tuduhan sebegini mencemarkan reputasi dan menjejaskan kerjaya kami. Justeru, kami dengan ini mendesak pentadbiran kerajaan Selangor memohon maaf kerana sanggup membazir duit rakyat untuk kos di mahkamah.
“Tutuntan ini malah dibuat semata-mata disebabkan politik balas dendam,” kata Faekah merujuk pemecatan Abdul Khalid sebagai ahli PKR hanya kerana enggan melepaskan jawatan menteri besar. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA