MELAKA – Tiga pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) terpaksa menahan kesakitan kira-kira 40 minit selepas kenderaan yang dinaiki kumpulan remaja itu hampir ranap.
Mangsa terbabit dalam kemalangan dengan dua buah lori di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Paya Rumput Bestari, kira-kira 12.20 tengah hari Isnin.
Dalam nahas itu, kereta Perodua Kancil yang dipandu Nurhazirah Hazni, 19, bersama penumpang Mohamad Shafiq Asriq Kamaruddin, 18, dan Norizwani Saberi, 19, dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke Bandar Raya Melaka.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila kereta yang dinaiki mangsa tiba-tiba memasuki lorong kanan laluan antara lori membawa muatan pasir di depan dan lori sampah di belakang.
Kereta itu kemudian dirempuh lori sampah yang dipandu oleh Adnan Idris, 54; yang cuba mengelak ke kiri sebelum melanggar lori pasir dipandu B Sekar, 47, di hadapan.
Media tempatan melaporkan, ketiga-tiga remaja berkenaan bagaimanapun dilaporkan hanya cedera ringan di bahagian kaki akibat tersepit.
Komander Operasi Kanan Pegawai Kanan Penguasa Bomba Hashim Kasering dari Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu berkata, enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang cedera akibat tersepit.
“Mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya. – MYNEWSHUB.CC