MUNGKIN tidak ramai yang tahu bahawa penyanyi era 1990-an, Ben Nathan sudah pun memeluk Islam dan beliau menggunakan nama Ben Adam sebagai nama Islamnya.
Ben membuat pengakuan eksklusif tersebut ketika bersiaran langsung dalam program Selamat Pagi Malaysia, menerusi stesen TV1 RTM dua hari lalu.
Penyanyi berusia 54 tahun itu menjadi tular baru-baru ini selepas ditemui menjalani kehidupan sebagai seorang gelandangan di jalanan sekitar ibu negara.
Setelah lima tahun menjalani kehidupan tanpa arah, Ben telah dibantu pihak berkaitan yang kemudian membawanya ke Wad Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur sejak 3 Februari lalu.
Ia berikutan beliau didapati mengalami sedikit kekeliruan dengan dunia nyata dan pertuturannya yang sedikit terbatas.
Dan kini, Ben sudah menunjukkan perkembangan positif dan buat pertama kalinya sejak lima tahun lalu, Ben kembali menghiasi kaca tv selepas dijemput sebagai tetamu jemputan bagi program Selamat Pagi Malaysia itu.
Dalam program bual bicara tersebut, Ben berkesempatan mendendangkan semua dua lagu hitsnya, Stanza Sekeping Hati dan Tidak Mungkin.
Ben dalam pada itu juga menyatakan hasratnya untuk mengerjakan ibadat umrah di tanah Suci Makkah apabila keadaannya semakin baik.
Bagi mengembalikan semangatnya, satu konsert anjuran Yayasan Artis 1 Malaysia dengan kerjasama ahli perniagaan Tan Sri Syed Mohd. Yusof iaitu Konsert Kasih dan Sayang Ben Nathan bakal diadakan pada 21 Mei depan di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.
Semoga bintang Ben terus menyinar seperti mana zaman kegemilangannya sebelum ini dan buat peminat setia Ben jangan lepaskan peluang anda untuk menyaksikan kemunculan semula Ben selepas sekian lama ‘menghilang’. – MYNEWSHUB.CC