RAUB – Mahkamah Majistret di sini hari ini, mengeluarkan perintah mutlak bahawa tiada lagi kerja penebangan dan pembukaan tanah baharu di sekitar Lot 874 Jalan Tras, berhampiran Hutan Simpan Hulu Teranum di sini.
Majistret Mohamad Ibrahim Mohamad Ghulam membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil bagi menghalang kegiatan itu.
Shariffa Sabrina memfailkan permohonan itu bagi mendapatkan perintah mutlak menghentikan kacau ganggu iaitu kerja penerokaan di situ dengan menamakan syarikat YRQ Plantation Trading dan Pengerusi Anggota Jawatankuasa Tanam Semula Berkelompok Kampung Sungai Delam, Zulkifli Sulaiman sebagai pihak terlibat.
Peguam Siti Zabedah Kassim yang mewakili Shariffa Sabrina ketika ditemui di luar mahkamah berkata keputusan itu dibuat tanpa kehadiran peguam syarikat mahupun Zulkifli yang tidak pernah menghantar wakil sepanjang prosiding berlangsung.
Terdahulu, Siti Zabedah mengemukakan afidavit kajian kualiti air oleh Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Maketab Mohamed bahawa Sungai Delam di situ boleh kehilangan klasifikasi ‘sungai kelas 1’ jika kerja penerokaan itu tidak dihentikan.
Turut dikemukakan ialah afidavit kerja ukur oleh juruukur berlesen Khairon Abdul Ghani yang turut menyokong bahawa kerja tanah di rizab Orang Asli Sungai Delam boleh menyebabkan pencemaran kepada sungai-sungai yang mengalir di kawasan itu.
Shariffa Sabrina semasa ditemui berharap semua pihak akan mematuhi perintah itu bagi memastikan ekosistem di situ terpelihara demi kepentingan generasi hadapan dan hidupan alam di kawasan berkenaan.
“Permohonan ini bukan atas kepentingan sendiri tetapi untuk semua penduduk. Di Raub, masalah air bersih bukan perkara asing kerana sentiasa berlaku apabila hujan lebat disebabkan kualiti air yang teruk menjadikan air tidak boleh diproses sementara waktu.
“Kita tidak banyak lagi khazanah alam atau kawasan ekopelancongan yang ada…sudah hampir pupus. Jadi apa yang ada seharusnya dipelihara dengan sebaiknya. Sungai Delam adalah satu-satunya sungai kelas 1 yang masih ada di Raub,” katanya.
Pada 16 Januari lalu, Shariffa Sabrina memfailkan permohonan supaya mahkamah mengeluarkan perintah untuk menghentikan kacau ganggu di bawah Seksyen 89 Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) bagi menghalang kerja penebangan dan pembukaan tanah yang terletak berhampiran ekoresort Tanah Aina Farrah Soraya.
Beliau dalam afidavitnya mendakwa lot tanah yang terlibat terletak berhampiran Projek Tanaman Getah Berkelompok seluas 150 hektar di Perkampungan Orang Asli, Sungai Delam, Mukim Tras yang difahamkan terletak di kawasan tanah rizab Orang Asli.
Shariffa Sabrina menambah kacau ganggu yang berlaku itu berisiko menyebabkan banjir lumpur, banjir kilat, limpahan air dan hakisan tanah serta menjejaskan keselamatan penduduk dan pelancong selain merosakkan struktur tanah dan landskap.
Kerja penebangan dan pembukaan tanah itu juga dikhuatiri akan mencemarkan sungai sekeliling yang akan membawa kepupusan spesies ikan yang telah terancam serta membawa kerosakan yang tidak boleh dipulihkan kepada alam sekitar.
Shariffa Sabrina menambah beliau telah membuat bantahan kepada Pejabat Tanah dan Daerah Raub pada 27 Mei 2016 dan membuat dua laporan polis pada 30 Mei 2016 dan 21 Disember 2016 berhubung kacau ganggu itu.
Beliau menambah turut menghantar notis tuntutan bagi menghentikan kerja penebangan dan pembukaan tanah itu kepada pejabat daerah, Jabatan Kemajuan Orang Ali, Pejabat Risda, Jabatan Perhutanan dan Jabatan Pengairan dan Saliran daerah pada 13 Oktober 2016.
Bagaimanapun, Shariffa Sabrina mendakwa tiada tindakan lanjut diambil pihak berkenaan menyebabkan beliau tiada pilihan selain membuat permohonan itu di mahkamah. – BERNAMA