KUALA LUMPUR – Pemilihan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu bakal mencorakkan semula sukan itu di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata ia boleh dilihat menerusi visi dan misi yang dijelaskan Tunku Mahkota Johor (TMJ) menerusi kempen yang dijalankannya untuk jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara.
“Saya ucapkan tahniah kepada TMJ atas kemenangannya sebagai Presiden FAM. Saya yakin Tunku Ismail mempunyai visi dan lebih penting lagi keupayaan yang tinggi untuk mencorak masa depan bola sepak negara,” kata Khairy kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menjadi antara anggota panel dalam forum “Delivering Promises: The Malaysia Case Study” di sini hari ini.
Tunku Ismail beroleh kemenangan selepas pencabarnya, Tan Sri Annuar Musa, yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, mengambil keputusan menarik diri daripada perebutan jawatan tertinggi itu.
Annuar mengumumkan keputusannya pada sidang media khas di Parlimen hari ini kerana yakin dengan kemampuan Tunku Ismail untuk mengubah masa depan bola sepak negara.
Mengulas lanjut, Khairy berharap Tunku Ismail dapat memberi tumpuan yang sama kepada FAM dan juga program pembangunan bola sepak negara (NFDP) di bawah seliaan kementeriannya.
Menurut Khairy, beliau tidak sabar bekerjasama dengan Tunku Ismail untuk memastikan bola sepak negara dapat dimajukan dan pembangunan menerusi NFDP dapat diteruskan dengan sokongan FAM.
“Saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada TMJ terutamanya bagi memastikan NFDP dapat terus diperkasakan dan membantu visi Tunku Ismail untuk membangunkan bola sepak negara.
“Produk NFDP ini saya harap dapat diberi peluang sebagai bahan mentah kepada sistem bola sepak negara,” katanya.
Pada masa sama, Khairy turut meminta anggota Exco FAM yang bakal dilantik nanti agar dapat memberi kerjasama kepada Tunku Ismail kerana FAM memerlukan satu pasukan yang mantap untuk merealisasikan kebangkitan semula bola sepak negara.
“Tunku Ismail mempunyai visi di mana FAM ini adalah terbuka kepada idea-idea (baharu) dan saya harap anggota Exco (yang bakal dilantik) nanti dapat membawa idea dan visi Tunku untuk memperkasakan lagi bola sepak negara,” katanya.
FAM akan mengadakan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif yang diadakan serentak dengan Kongres FAM ke-53 di Petaling Jaya, Sabtu ini. – BERNAMA