ANKARA – Perdana Menteri Turki Binali Yildirim mengumumkan pada Rabu, operasi Euphrates Shield yang dilancarkan tentera Turki di utara Syria ditamatkan, lapor agensi berita China Xinhua.
“Mulai dari sekarang sebarang tindakan terhadap Daesh atau sebarang ancaman terhadap keselamatan kita, ia adalah operasi baharu,” kata Yildirim dalam satu temuramah dengan televisyen swasta NTV.
Ditanya mengenai kemungkinan operasi Raqqa dijalankan terhadap kumpulan pengganas Daesh dan pendirian pentadbiran baharu Amerika Syarikat, beliau berkata setakat ini Turki belum memaklumkan mengenai sebarang perancangan secara rasmi.
“Bagaimanapun, melihat perkembangan terkini pentadbiran Trump kami rasa tertarik memandangkan Trump dilihat mengikuti pentadbiran terdahulu,” tambah Yildirim
Ankara melancarkan operasi Euphrates Shield di utara Syria pada 24 Ogos 2016 bertujuan memerangi pengganas di sempadan termasuk Daesh dan Kurdis. – BERNAMA