BEIJING – Sebuah universiti terkemuka China di sini dikecam netizen menerusi media sosial hanya kerana mewajibkan para pelajarnya untuk tahu cara berenang, sebelum dapat tamat pengajian.
Demikian menurut laporan oleh The Global Times yang dipetik oleh stesen Channel NewsAsia milik pemerintah Singapura sebagai merujuk langkah pelik terbaharu diperkenalkan pihak pentadbiran Universiti Tsinghua itu.
Ia mula menguatkuasakan semula ujian berenang wajib dijalani penuntut – yang sebelum ini dihentikan akibat kemasukan terlalu ramai pelajar dan kekurangan kemudahan; di kampus universiti seluas 395 hektar tersebut.
Usaha itu namun dipersoalkan dan dikritik pengguna laman sosial China malah sesetengah netiezen mempersoalkan kewajaran untuk mengharapkan mahasiswa yang tinggal di kawasan pedalaman tiada sungai untuk tahu berenang.
Bagaimanapun pentadbiran universiti diasaskan sejak 1911 itu tetap bertegas dengan keputusan mewajibkan lebih 30,000 pelajar termasuk kira-kira 16,000 penuntut pascasiswazah mesti pandai berenang sebelum menerima ijazah.
Presiden universiti itu, Qiu Yong ketika berucap pada Persidangan Tahunan Staf Universiti Tsinghua berkata, 10 jurulatih sedia bertugas dan ia bakal dikenakan terhadap pelajar baharu sesi pengambilan musim luruh depan.
“Pelajar yang tidak dapat berenang, maka dia tidak boleh tamat pengajian mahupun mohon sambung belajar di luar negara,” kata Liu Bo, pengarah jabatan pendidikan jasmani Universiti Tsinghua, seperti dipetik media tempatan.
Malah, universiti yang berada pada kedudukan dalam kelompok 20 terbaik dunia itu memiliki kompleks kolam renang terbuka dan tertutup lengkap pelbagai fasiliti serta turut dibuka kepada orang awam dengan caj rendah.
Beliau menjelaskan bahawa matlamatnya ialah untuk mempersiapkan setiap mahasiswa dengan “kemahiran hidup yang penting” sekali gus memperbaiki tahap kesihatan fizikal mereka secara keseluruhannya, menurut laporan itu.
Bagaimanapun Bo menambah, pengecualian masih lagi boleh diberikan dengan pertimbangan sewajarnya terutama kepada pelajar yang ada masalah kesihatan serius dan disahkan doktor bertauliah.Ā – Agensi/Mynewshub.cc/HAA