ANTARA perkara yang menjadi kebimbangan rakyat Malaysia di kala ini adalah kemungkinan berlakunya konflik persenjataan antara Malaysia dan Korea Utara.
Semua ini gara-gara ketegangan diplomatik antara Putrajaya-Pyongyang yang menyaksikan kedua-dua buah negara telah mengusir duta masing-masing.
Situasi bertambah buruk apabila Pyongyang mula ‘tunjuk belang’ dengan menjalankan ujian roket jarak jauh yang ternyata membangkitkan kebimbangan seluruh dunia.
Ternyata sekali republik itu tidak goyah dengan sekatan antarabangsa, malah dengan sombongnya melaungkan amaran provokasi dan propaganda secara terbuka.
Perkara ini lantas membuatkan segelintir rakyat Malaysia mula resah sehingga ada yang menjadikan isu ketegangan itu membawa kepada bibit peperangan antara kedua-dua negara.
Ya, tidak dinafikan rejim Korea Utara sememangnya merupakan taiko besar pengeluaran senjata nuklear namun tahukah anda jiran mereka, iaitu Korea Selatan sehingga kini masih berperang dengan negara republik itu?
Stesen TV KBS di Korea Selatan sehingga ke hari ini masih menyiarkan sebuah rancangan parodi popular yang dinamakan “Confusing News”, iaitu sebuah slot program daripada rancangan Gag Concert.
Ia memaparkan bagaimana Korea Selatan membuat jenaka ‘makan dalam’ terhadap Korea Utara yang disiarkan secara konsep parodi berita TV Korea Utara.
Kami yang sedang menulis artikel ini pun tergelak sakan gara-gara menonton aksi selamba Korea Selatan ‘membahan’ pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un yang dianggap terlalu dunggu dan tidak rasional terhadap rakyat jelatanya.
Dalam rancangan itu juga, turut dipaparkan bagaimana parodi ‘perisik Pyongyang’ melakukan siaran lintas langsung dari Seoul, melaporkan berita kononnya rakyat Korea Selatan diseksa.
Korea Utara di era pemerintahan Kim Il-sung telah mengistiharkan perang saudara dengan mengarahkan tenteranya menyerang Korea Selatan pada 25 Jun 1950.
Perang yang menjangkaui masa selama tiga tahun itu hanya diakhiri dengan perjanjian perletakkan senjata tanpa ada sebarang perjanjian damai dimeterai.
Dalam bahasa mudahnya, Korea Utara dan Selatan sehingga kini masih lagi dalam zon perang yang boleh meletus pada bila-bila masa sahaja sekiranya salah satu dari negara itu ‘meletup’. –Â MYNEWSHUB.CC