ALANGKAH terkejutnya seorang wanita apabila mendapati kehadiran seekor tikus besar yang sedang ‘berehat’ di atas rak di sebuah pasaraya di ibu negara, dalam kejadian Isnin lalu.
Tressa Cheong, individu yang memuat naik rakaman video mengatakan kejadian itu dirakam di pasaraya Aeon di One Utama, Petaling Jaya.
Rakaman berdurasi 11 saat itu kemudian dimuat naik di laman Facebook, yang mana sehingga kini video berkenaan telah dikongsi lebih daripada 2,200 pengguna laman sosial.
Menerusi rakaman, tikus itu dilihat berada dicelah-celah antara minuman susu kota Dutch Lady dan Nescafe, seolah-olah ‘sedang tidur’ pada label harga yang tertera perkatan ‘Dutch Lady RM6.99’.
Rata-rata netizen seolah sudah lali dengan insiden kemunculan haiwan perosak berkenaan di mana ada yang menjadikan insiden itu sebagai bahan lucu.
“OMG!!! Sangat besar Yang Ming (tikus),” tulis Evonne Teo.
Clarissa Cassendra Peter pula berkata: “Oh my God! So cute leh (sangat comel).”
Sementara Loh Khang Herng menambah: “Tikus itu dijual pada harga RM6.99?”
Bagaimanapun, mujur masih ada pihak yang mengambil berat mengenai insiden berkenaan, bertanya sama ada pihak pengurusan pasaraya terbabit telah dimaklumkan mengenai penemuan tikus itu atau sebaliknya.
Ada yang membuat spekulasi bahawa haiwan itu mungkin telah termakan racun dan mencari tempat untuk mati.
Awal Januari lalu, pengguna laman sosial kecoh selepas sekeping gambar menunjukkan seekor tikus memasuki mesin pemanas makanan yang mengandungi makanan, menjadi tular.
Kejadian itu berlaku di cawangan 7-Eleven Kelana Centre Point dan pihak rangkaian kedai serbaneka itu telah tampil memohon maaf berhubung insiden terbabit. – MYNEWSHUB.CC