“IA lebih sukar daripada apa yang saya bayangkan,” demikian kata warga emas ini, Daljinder Kaur yang berusia 73 tahun.
Dia mengejutkan ramai selepas mendapat anak sulung pada usia 72 tahun menerusi rawatan IVF yang dijalankan dengan suaminya, Mohinder Singh Gill, 80, selepas beberapa kali gagal mendapat anak.
Kini anak lelaki mereka, Armaan sudah berusia 11 bulan. Dengan usia tua berkenaan, Daljinder yang menetap di Punjab, berdepan kesukaran untuk menjaga Armaan apatah lagi bayi berkenaan sudah mula merangkak.
Daljinder turut menghidap darah tinggi dan sendi tulang yang lemah.
“Sejak menghidap tekanan darah tinggi, saya selalu letih. Saya telah bertemu dengan beberapa orang doktor dan mereka hanya memberikan ubat sahaja,” katanya yang bimbang akan nasib anaknya itu.
Pada usia tua berkenaan, Daljinder hanya sempat memberi Armaan susu badan selama tiga bulan sahaja. Berat bayi itu juga ringan iaitu hanya 6.8kg sahaja.
Daljinder dan suaminya telah menemui doktor bagi mendapatkan nasihat mengenai berat anak mereka namun doktor mahu Armaan membesar secara normal tanpa mengambil sebarang ubat.
Pasangan itu berkahwin selama 46 tahun dan kini mereka terpaksa menjaga kesihatan masing-masing, kerana bimbang tiada orang yang akan menjaga Armaaan sekiranya mereka sakit.
Bagaimanapun pasangan itu tidak menyesal kerana mendapat anak pada usia yang tua. – MYNEWSHUB.CC