WALAUPUN dirinya baharu setahun jagung berkecimpung dalam industri hiburan tanah air, nyata tuah begitu memihak kepada pelantun lagu berhantu Ku Rela Dibenci, Aiman Tino.
Masakan tidak, dia baharu sahaja dihadiahkan sebuah kereta super mewah Audi R8 malah turut disediakan pemandu peribadi memandangkan dirinya masih belum mempunyai lesen memandu.
Menurut Aiman, hadiah itu menjadi pemangkin semangat buatnya untuk terus berusaha dalam mempromosikan produk Sweet Aiman yang dimilikinya.
Menurut laporan mStar, hadiah mewah itu sebenarnya dihadiahkan oleh Pengarah Urusan Wonder Glow Cosmetics (M) Sdn Bhd, Datuk Ryzal Jamaludin yang juga merupakan rakan strategik Aiman dalam penghasilan produk kecantikan tersebut.
“Siapa tak gembira dapat kereta seperti itu tetapi malangnya saya masih belum ada lesen memandu dan akan cuba mendapatkannya jika ada masa terluang.
“Dapatlah nanti saya memandu sendiri kereta itu tanpa perlu menggunakan khidmat pemandu peribadi,” katanya yang baharu berusia 19 tahun.
Tiga produk keluaran pertama penyanyi ini terdiri daripada 3D Cream DD Mineral Cushion, Candy Cherry Bite dan Cherry Brite HD. – MYNEWSHUB.CC