PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima kunjungan hormat Peguam Negara New Zealand Christopher Finlayson di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra, di sini.
Pertemuan dengan Finlayson, yang juga menteri bertanggungjawab bagi agensi risikan keselamatan New Zealand, berlangsung kira-kira sejam.
Ahmad Zahid berkata sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 25 Sept 1957, Malaysia dan New Zealand bekerjasama rapat dalam bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan, di samping hubungan rakyat dengan rakyat.
“Malaysia berkeyakinan hubungan antara kedua-dua negara dapat terus dipertingkatkan dalam bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pertahanan di samping makanan dan pertanian,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan bersempena pertemuan itu.
Mengakui bahawa hubungan rakyat dengan rakyat berperanan penting dalam merapatkan hubungan dan kerjasama dua hala, Ahmad Zahid berkata Malaysia berharap supaya diadakan lebih banyak pertukaran lawatan di semua peringkat.
Beliau berkata Malaysia dan New Zealand akan menyambut ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik tahun ini, dengan kedua-dua pihak mencadangkan beberapa program untuk memperingati peristiwa itu, antaranya pertandingan mencipta logo, lawatan dan forum. – BERNAMA