KUALA LUMPUR – Seramai 16,500 banduan selesai menjalani sistem parol sejak ia diperkenalkan pada 2008, kata Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar.
Beliau berkata sistem itu, yang membolehkan banduan menghabiskan baki hukuman di luar penjara, dilaksanakan bagi memudahkan mereka mendekatkan diri dengan keluarga dan masyarakat.
“Pencapaian sistem ini baik apabila sebanyak 99 peratus daripada Orang Diparol (ODP) memperoleh pekerjaan manakala kadar ‘recidivist’ (berulang melakukan jenayah) ODP adalah di bawah 0.51 peratus,” katanya selepas menjadi tetamu Program Ekspresi Khas Bernama Radio di Wisma Bernama di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.
Zulkifli berkata dalam tempoh sistem parol itu, banduan akan dipantau Pegawai Parol di setiap daerah dan ODP diwajibkan mematuhi 41 syarat Lembaga Parol.
“Antara syarat itu ialah ODP tidak dibenarkan ke luar negara dan mereka diwajibkan mengikuti program pemulihan yang diatur Pegawai Parol,” katanya.
Ditanya sama ada kesemua banduan boleh memohon menjalani sistemparol itu, Zulkifli menjelaskan hanya kesalahan yang disenaraikan dalam Jadual Keempat Akta Penjara tidak boleh memohon parol.
“Kesalahan bagi Jadual Keempat antaranya melibatkan kesalahan merogol, meliwat selain banduan menghadapi hukuman mati,” katanya.
Selain itu, banduan layak dipertimbang bagi pelepasan secara parol jika memenuhi syarat yang ditetapkan termasuk menjalani separuh daripada tempoh hukuman, mendapat sokongan keluarga dan mempunyai perancangan pekerjaan setelah dilepaskan secara Perintah Parol.
Menurutnya pelepasan secara Perintah Parol bermaksud ODP masih terikat dengan baki tempoh hukuman yang perlu dijalani dan bukan bermaksud pembebasan sepenuhnya. – BERNAMA