KUALA LUMPUR – Kira-kira 4,000 sukarelawan akan membantu membina semula 15 rumah kebajikan dan anak yatim di seluruh negara bermula Jun ini.
Pengarah Yayasan Aspirasi Rakyat Amalan Malaysia (ARAM) Nehsan Selvaraj berkata fokus utama mereka adalah ke atas kemudahan yang kurang sempurna.
“Projek ini disokong oleh penderma kami dan sukarelawan kerana projek ini adalah untuk memupuk perpaduan dan kepelbagaian bangsa bagi membantu golongan kurang bernasib baik di Malaysia,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Bagi mengumpulkan dana untuk projek berkenaan, katanya badan bukan kerajaan itu akan menganjurkan satu acara kebajikan di Universiti Malaya, Sabtu ini.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan peruntukan yang diperlukan untuk projek itu. – BERNAMA