SHAH ALAM – Sejumlah 62 penduduk ditempatkan di sebuah pusat pemindahan di daerah Kuala Selangor dekat sini setelah kediaman mereka dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata hujan lebat telah menyebabkan beberapa kawasan rendah di Kampung Tanjung Buah dan Kampung Tanjung Siam dinaiki air.
Menurutnya, penduduk terdiri daripada 19 keluarga itu kini ditempatkan di dewan Sekolah Kebangsaan Pasangan, Kampung Kuantan, Kuala Selangor sementara menunggu air surut.
“Bomba akan memantau perkembangan cuaca dan dalam keadaan bersedia 24 jam bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini.
Pihak berkuasa juga menasihati orang ramai untuk segera berpindah sekiranya kediaman mereka dinaiki air. – BERNAMA