JOHOR BAHRU – Polis menahan 68 individu termasuk 11 wanita dalam 67 serbuan terhadap premis menjual nombor ekor tanpa lesen di negeri itu, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata serbuan bermula pada 4.30 petang hingga 6.30 petang itu membabitkan 26 pegawai dan 94 anggota polis di seluruh negeri ini.
Dalam serbuan itu, katanya, polis merampas 65 unit telefon, 75 unit mesin pencetak dan wang tunai berjumlah RM6,159, yang dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti tersebut.
“Kesemua mereka yang ditahan itu merupakan penjaga pelbagai premis perniagaan termasuk kedai dan restoran. Kesemua mereka terdiri daripada 55 lelaki dan 11 wanita tempatan serta seorang lelaki masing-masing rakyat Indonesia dan Bangladesh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata serbuan dilancarkan selepas pemantauan terhadap kegiatan terbabit dilakukan antara tempoh dua minggu dan sebulan.
Katanya, kesemua yang berumur 23 hingga 56 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA