PELAKON Shukri Yahaya, 28, memberitahu walaupun isterinya, Tya Adnan dibenarkan pulang ke rumah selepas ditahan di hospital kerana jangkitan kencing tikus, dia masih lagi lemah.
Tambah Shukri, selepas dijangkiti penyakit itu, semangat isterinya hilang dan ahli keluarga perlu memberikan perhatian terhadapnya selain memerlukan penjagaan.
“Alhamdulillah, selepas 8 hari berada di hospital kerana jangkitan kencing tikus, dia sudah pulang ke rumah empat hari lalu.
“Tetapi semangatnya hilang dan dia juga masih lemah. Nasib baik keluarga kami tinggal berdekatan dan banyak membantu menjaga isteri dan anak saya,” katanya kepada mStar Online.
Menurut Shukri, ini merupakan kali pertama dia berhadapan dengan situasi begini dan berasa bimbang sepanjang lapan hari isterinya ditahan.
“Pada awalnya, Tya mengalami demam selama 10 hari dan saya sudah pergi ke klinik tetapi tidak kebah. Kemudian, saya membuat keputusan untuk membawanya ke hospital.
“Apabila doktor di hospital menjalankan ujian, Tya didapati dijangkiti penyakit kencing tikus. Saya amat bimbang kerana penyakit itu boleh membawa maut,” katanya lagi.
Jelasnya lagi, dia juga tidak pasti bagaimana isterinya boleh terkena jangkitan tersebut kerana dia dan isterinya berada di tempat yang sama dan sering makan di tempat yang sama. – MYNEWSHUB.CC