JOHOR BAHRU – Seramai 63 individu termasuk pengunjung dan pelayan tetamu yang kebanyakannya terdiri daripada warga asing, ditahan dalam serbuan di lapan pusat hiburan sekitar bandar raya ini serta beberapa daerah di negeri ini, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata operasi bermula 10 malam itu dijalankan serentak di daerah Johor Bahru, Iskandar Puteri, Muar dan Kluang dengan memeriksa 78 individu.
Menurut beliau, daripada semua yang ditahan, lapan daripadanya adalah warga tempatan iaitu tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan manakala selebihnya ialah wanita warga asing.
“Kesemua mereka berumur antara 25 dan 36 tahun dan didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(2) dan 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Johor (ENJ), Seksyen 55 B (1) dan 6 (1) Akta Imigresen 1953/63 serta Seksyen 39(B) Peraturan-Peraturan Imigresen 1953/1963,” kata beliau dalam kenyataan di sini, hari ini.
Kamarul berkata, menerusi saringan ujian air kencing yang dijalankan, 17 daripada tahanan terbabit didapati positif dadah jenis Amphetamine. – BERNAMA