KUALA LUMPUR – Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 atau RUU 355 bukanlah pintu belakang untuk pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.
“Untuk melaksanakan hukum hudud, sekurang-kurangnya ada tiga pindaan dalam perlembagaan diperlukan. Sudah tentu, ia sukar dilakukan kerana pindaan RUU 355 ini terhad kepada bidang kuasa mahkamah syariah di negeri-negeri.
“Jadi janganlah kedengaran lagi Akta 355 ini adalah untuk melaksanakan hudud di Malaysia,” kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Rakyat, Khamis.
Ahli Parlimen PAS Marang itu akhirnya berjaya membentangkan Usul Persendiriannya di Parlimen hari ini walaupun mendapat tentangan daripada ahli-ahli parlimen pembangkang bukan Islam terutama DAP dan PKR.
Menurut Abdul Hadi yang juga Presiden PAS, RUU 355 ini bukanlah untuk diguna pakai kepada orang bukan Islam, sebaliknya ia hanya untuk orang Islam di dalam negara ini.
“Sejarah membuktikan sejak 52 tahun yang lalu, tiada seorang pun orang bukan Islam yang pernah didakwa dengan Akta 355 di mana-mana mahkamah syariah negeri-negeri.
“Justeru, seorang bukan Islam tidak perlu bimbang dengan implikasi pindaan akta ini, kita memohon Yang Berhormat di dewan ini tidak perlu bimbang kerana tidak dikenakan kepada pesalah bukan Islam,” katanya.
Tegas beliau lagi, sesiapa yang menentang RUU 355 berkenaan terutama demi kepentingan perjuangan politik mereka, adalah golongan yang dianggap sebagai kemaruk kuasa.
Dalam pembentangannnya, Abdul Hadi mengingatkan ahli-ahli Dewan Rakyat bahawa Islam merupakan agama rasmi bagi Persekutuan yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
“Namun tidak kah ahli Dewan terfikir, penganut agama Islam seolah-olah dilarang pula untuk tidak dapat mengamalkan agama sendiri sepenuhnya, dengan pembelaan yang dijanjikan oleh Islam.
“Ia dalam keadaan yang bukan Islam pula telah mengganggu hak orang Islam mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya termasuklah syariat yang terkandung di dalamnya,” katanya dan mendapat tepukan gemuruh dewan.
Menurut beliau, pindaan tersebut ialah untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang hukumannya sudah lama tidak pernah dipertingkatkan.
“Pindaan ini bukan bertujuan mewujudkan undang-undang baharu, tetapi lebih untuk meminda sebuah undang-undang Persekutuan berkaitan bidang kuasa mahkamah Syariah yang batas hukuman sedia ada.
“Antara yang terkandung dalam Akta 355 pada masa ini iaitu had maksimum penjara hanya tiga tahun, atau denda tidak lebih RM5,000 atau tidak lebih enam kali sebatan.
“Hukuman ini amat rendah dengan hukuman sivil kelas satu yang boleh memenjarakan pesalah dengan hukuman penjara 10 tahun atau penjara RM10,000 atau sebat 10 kali,” katanya.
Abdul Hadi menjelaskan lagi, pindaan RUU 355 akan membela dan memartabatkan hak wanita Islam yang sering diabaikan atau dinafikan haknya oleh suami.
“Begitu juga kepada seorang suami Muslim yang tidak bertanggungjawab, meninggalkan isteri dan anak bertahun-tahun tanpa nafkah. Apabila didakwa isterinya di mahkamah Syariah, dia hanya boleh didenda dan mudah bagi si suami untuk melunaskan RM5,000,” katanya. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA