SUSULAN isu persenda nama mendiang bapa bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek, pengacara Azizul Ammar Abu Hassan dan enam kru penerbitan program Sukan Tak Sentral dipanggil polis Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan.
Harian Metro melaporkan, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mazlan Mansor berkata, ia sebahagian daripada proses siasatan selepas satu laporan polis oleh Watson di Balai Polis Pusat Miri, pada Isnin lalu.
Menurutnya, pengacara dan kru program berkenaan tidak perlu dipanggil ke Miri, Sarawak kerana siasatan dalam kes berkenaan dibantu polis Bukit Aman.
“Mereka (pengacara dan kru) akan memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan dan dibantu Polis Sarawak,” katanya.
Baca: Hina Nama Ayah Watson, Ammar Mohon Maaf
Isnin lalu, Watson membuat laporan polis ekoran tindakan pengacara rancangan komedi itu menyamakan mendiang bapanya dengan binatang.
Ekoran itu, satu pertemuan diadakan di sebuah hotel di Miri antara pengurusan Primeworks Studios Sdn. Bhd. (PWS), Azizul Ammar, penerbit program dan Watson.
PWS kemudian memutuskan untuk membatalkan rancangan tersebut serta merta manakala kru produksi termasuk pengacara dan penerbit rancangan itu digantung tugas untuk tempoh yang tidak dinyatakan.
Sementara itu, pengacara bersama Ammar dalam program tersebut, Marsha Milan London turut memohon maaf terhadap Watson dan keluarganya yang terkesan dengan persembahan mereka dalam program itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – MYNEWSHUB.CC